Home » Berita Terkini » Cabaran dan 
pengorbanan guru
image (1)

Cabaran dan 
pengorbanan guru

Mereka merentasi sempadan udara, darat dan air sungai untuk tiba di laman sekolah demi mendidik, mencurahkan ilmu, membawa harapan dan nafas baru kepada anak bangsa tempatan.
Begitulah gambaran perjalanan yang harus diharungi oleh guru-guru terutamanya yang berasal dari Semenanjung Malaysia dan ditempatkan untuk mengajar di sekolah luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman Bahagian Kapit, Sarawak – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katibas.
Pengembaraan para guru dari Semenanjung Malaysia menuju ke SMK Katibas iaitu tempat di mana mereka akan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pendidik dimulai dengan menaiki penerbangan ke Bandar Sibu, Sarawak.
Sesudah tiba di Sibu, mereka perlu meneruskan perjalanan dengan menaiki bot ekspres yang membelah arus menongkah ke hulu Sungai Rejang selama dua jam untuk tiba di pekan kecil Daerah Song yang terletak di Bahagian Kapit, sebuah daerah terpencil yang hanya dapat dihubungi menerusi jalan air.
Setibanya di Pekan Song, guru-guru ini perlu menyambung semula perjalanan mereka dengan menggunakan khid­mat perahu panjang yang disediakan oleh pihak sekolah, menyusuri Sungai Katibas – salah sebuah cabang sungai yang terdapat di Daerah Song, menghala ke arah hulu selama 30 hingga 40 minit sebelum tiba di destinasi yang ditujui iaitu SMK Katibas.
Di situlah tempat para guru ini berkhidmat dan berbakti untuk sekian tahunnya. Perjalanan yang sama harus diharungi oleh guru-guru ini setiap kali mereka ingin mengunjungi kawasan bandar atau berhasrat pulang ke kampung halaman masing-masing tatkala tibanya musim cuti sekolah atau sambutan perayaan.
Selain menanggung segala penat lelah dan risiko bahaya perjalanan bagi menjejakkan kaki ke sekolah ini, lokaliti sekolah tersebut yang terletak jauh dari lingkungan bandar atau pekan turut mengakibatkan guru-guru berdepan de­ngan pelbagai cabaran dalam sesi pengajaran kerana masalah kemudahan pengajaran yang terhad dan infrastruktur yang tidak lengkap di sekolah tersebut.
SMK Katibas yang terletak di kawasan pedalaman dan dikelilingi bukit-bukau turut tidak memungkinkan guru untuk menikmati pelbagai kemudahan telekomunikasi seperti di kawasan bandar, justeru mereka tidak dapat berhubung secara langsung dengan dunia luar.
Para guru juga harus membiasakan diri dengan bekalan elektrik yang bersifat berkala dan masalah mendapatkan bekalan air bersih. Kondisi sedemikian menuntut ketabahan dan kesabaran yang tinggi dalam kalangan warga pendidik di sekolah ini.
Selain itu, perbezaan sosiobudaya dalam kalangan pelajar atau komuniti setempat turut dianggap sebagai cabaran buat guru yang berasal dari Semenanjung Malaysia.
Majoriti pelajar di SMK Katibas adalah pelajar kaum Iban dari kawasan rumah panjang sekitarnya. Guru-guru berdepan dengan cabaran untuk mempelajari bahasa ibunda atau dialek komuniti setempat demi memastikan mereka dapat mendekatkan diri, memudahkan proses suai kenal, meningkatkan kemesraan antara guru dengan pelajar serta meningkatkan penerimaan pelajar terhadap guru dan perhubungan baik ini seterusnya diyakini dapat menyumbang kepada keberkesanan sesi pengajaran yang diadakan.
Walau apa pun rintangan atau cabarannya, guru-guru di SMK Katibas komited mengajar di sekolah luar bandar dan pasti akan terus mengekalkan keterujaan merealisasikan misi mendidik anak bangsa tempatan menjadi insan yang berjaya.
PENULIS ialah pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti di Universiti Putra Malaysia (UPM).

About admin

Profile photo of Pengurus Portal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>