Home » Pendidikan » Generasi muda jangan pinggir sejarah negara
a212image

Generasi muda jangan pinggir sejarah negara

KOTA KINABALU 24 Mei – Generasi muda yang mendapat maklumat secara meluas melalui kecanggih­an teknologi maklumat (IT) dinasihatkan agar tidak meminggirkan sejarah lampau negara.

Jelas Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, hal demikian kerana sejarah negara terbentuk dalam rangka wadah panjang yang memerlukan pengorbanan dan tidak boleh sesekali dipinggir terutama oleh golongan belia.

“Jika kita tidak mengimarahkan penghayatan sejarah negara kepada generasi muda, tidak mustahil jati diri dan semangat cintakan negara dalam diri mereka akan terhakis. Di bahu generasi muda terpikul tanggungjawab berat mempertahan dan meneruskan keharmonian negara hari ini.

“Mereka perlu sentiasa beringat bahawa kemerdekaan bukan hak mutlak dan tidak mustahil negara akan hancur jika kita gagal memelihara perjuangan kemerdekaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pe­nerangan negeri, Datuk Almain Ajirul.

Dalam pertandingan itu, seramai enam buah kumpulan yang layak ke peringkat akhir bertan­ding bagi merangkul johan sekali gus mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan pada September ini.

Ibrahim menambah, pertanding­an seumpama itu berupaya membantu meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat ter­­utama golongan muda tentang per­juangan tokoh-tokoh terdahulu.

Kata beliau, pertandingan itu juga merupakan wadah untuk menyuburkan semangat integrasi nasional antara wilayah, bangsa dan agama melalui rentetan sejarah perjuangan tokoh dahulu menentang penjajahan sekali gus membina bangsa berdaulat.

“Oleh itu, usaha semua pihak amat diperlukan bagi memastikan anak-anak muda bukan sahaja memahami susur galur sejarah pembentukan negara tetapi apa yang penting perkara tersebut dihayati sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, kumpulan Lentera Bayu yang berjaya merangkul hadiah tempat pertama menyifatkan kejayaan itu hasil usaha kerja ahli kumpulan dalam membuat penyelidikan tentang seniman Allahyarham Sudirman Arshad selain menggarap jalan cerita yang bersesuaian.

Jelas ketua kumpulan, Mohd. Mujahid Halpi, 23, mereka memerlukan sebulan untuk membuat penyelidikan berhubung kisah hidup dan kejayaan Sudirman termasuk menggarap jalan cerita manakala sebulan lagi digunakan untuk berlatih.

About PKG Tapang

Profile photo of PKG Tapang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>