Home » Pendidikan » Pembelajaran dalam talian guna Bahasa Melayu perlu dikaji
1ab

Pembelajaran dalam talian guna Bahasa Melayu perlu dikaji

PULAU PINANG 30 Mei – Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan disaran agar menjalankan kajian terhadap kaedah pembelajaran secara dalam talian melalui sistem massive open online courseway (MOOC) dalam bahasa Melayu bagi memartabatkan bahasa kebangsaan di negara ini.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Omar Osman berkata, langkah itu penting sejajar dengan kedudukan bahasa terbabit sebagai bahasa kebangsaan.

Tegasnya, usaha mewujudkan MOOC dalam bahasa Melayu dilihat mudah dan boleh dilaksanakan memandangkan terdapat ramai golongan pensyarah yang mampu menghasilkan bahan-bahan pembelajaran di dalam bahasa kebangsaan tanpa mengira latar belakang pensyarah itu sendiri.

“Seperti di USM, tidak kira pensyarah itu berketurunan Melayu, Cina atau India, kebanyakan mereka boleh menghasilkan bahan rujukan mengikut bidang masing-masing dengan menggunakan bahasa Melayu dan kementerian boleh menggunakan khidmat pensyarah ini dalam usaha menghasilkan MOOC di dalam bahasa kita.

“Malah penghasilan MOOC di dalam bahasa Melayu juga penting bagi memastikan ilmu yang dikongsi dapat diakses lebih ramai rakyat di negara ini dan bukan tertumpu kepada para pelajar semata-mata,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Melayu yang dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr. Rohizani Yaakub di Hotel TH di Bayan Lepas di sini.

Seminar dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu bertujuan untuk meneroka kaedah terkini yang boleh diguna pakai bagi memartabatkan lagi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Tambah Omar, USM sentiasa komited dan menyokong segala usaha digerakkan mana-mana pi­­hak terutamanya DBP dalam memperluaskan penggunaan ba­­hasa Melayu tanpa mengira batasan lapangan pengajian.

“Sekarang kita sedang bekerjasama dengan DBP dalam usaha untuk menghasilkan bahan bacaan sains dan perubatan di dalam bahasa Melayu.

“Kita perlu bergerak seiring dan pihak kementerian harus memainkan peranan bagi menarik para pensyarah menulis dalam bahasa Melayu, khususnya untuk bidang teknologi, sains dan perubatan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar memberitahu, pihaknya menjangkakan langkah mengantarabangsakan bahasa Melayu ke negara China akan mendatangkan hasil dalam masa beberapa tahun akan datang.

“Melalui kerjasama yang digerakkan DBP bersama-sama Open University baru-baru ini, kita yakin dalam tempoh lima tahun akan datang, sebanyak 13 juta rakyat di negara tembok besar itu akan mengikuti pengajian bahasa Melayu.

“Ketika ini terdapat enam universiti di China menawarkan pengajian bahasa Melayu di negara itu dan kita yakin sasaran 13 juta mampu dicapai dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, sekali gus memperkasakan bahasa kita ke peringkat lebih luas,” ujarnya.

About PKG Tapang

Profile photo of PKG Tapang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>