Home » Pendidikan » RMK-11: Pendidikan Paksi Modal Insan
111image

RMK-11: Pendidikan Paksi Modal Insan

PENDIDIKAN yang berkembang maju adalah faktor penting dalam usaha mencapai Wawasan 2020. Melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bidang pendidik­an akan terus diberikan tumpuan utama dalam usaha membangun modal insan dan memacu ke arah negara maju.

Pelan yang berteraskan prinsip bangsa Malaysia iaitu Dasar Transformasi Negara (2011-2020), mengekalkan tumpuan berpaksikan rakyat melalui Model Baru Ekonomi. Model ini menetapkan matlamat untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang inklusif serta mapan.

Justeru, melalui Teras 3: Me­ningkatkan pembangunan modal insan untuk negara maju iaitu mengutamakan pekerjaan berkemahir­an tinggi dengan menambah baik kualiti pendidikan dan meningkatkan kecemerlangan dan pencapaian murid melalui peningkatan akses dan kualiti.

Berkaitan pendidikan iaitu perihal atau proses mendidik, melatih dan mengajar manusia daripada perkara yang tidak diketahui kepada perkara yang diketahui adalah usaha yang sangat penting. Proses ini mestilah dilakukan secara konsisten dan berterusan bagi mencapai hasrat pembentukan modal insan berilmu dan berakhlak.

Transformasi pendidikan akan berterusan melalui usaha Kementerian Pendidikan yang kini berjaya melaksanakan pelbagai usaha transformasi di bawah Pelan Pembangun­an Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan PPPM (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 akan terus me­ningkatkan mutu pendidikan negara.

Proses pengajaran dan pem­belajaran akan terus dilaksanakan oleh guru dan pensyarah yang bertauliah dan berpengalaman sama ada di sekolah atau universiti, bagi membentuk modal insan cemerlang dan seimbang dengan ilmu dan akhlaknya.

Kini pelbagai kaedah digunakan oleh guru-guru di sekolah melalui mata pelajaran tertentu mampu melahirkan insan cemerlang dan berakhlak mulia. Terdapat 313 judul buku teks yang boleh diakses oleh murid-murid, guru-guru dan ibu bapa di laman 1BestariNet.net. Bahagian Buku Teks merupakan bahagian di dalam Kementerian Pen­didik­an yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan transformasi buku teks yang merangkumi tiga gelombang perubahan.

Justeru, bagi menyempurnakan akhlak seimbang dapat dilakukan melalui pendidikan akal budi iaitu yang berkaitan dengan akhlak pe­rangai, tingkah laku (tabiat) dan adat kebiasaan. Ini dapat dilakukan oleh guru melalui mata pelajaran Agama Islam, Pendidikan Moral, Kesusasteraan, Bahasa Malaysia dan Sejarah supaya pelajar dididik nilai murni dan kesusilaan dalam masyarakat.

Hal ini jelas melalui pemahaman dan perlakuan tentang akhlak yang baik umpamanya mengamalkan nilai baik hati, bercakap benar, amanah, menepati janji, sabar, pemaaf, pemurah, berbakti kepada ibu bapa, sopan terhadap guru, bersikap baik kepada saudara dan tetangga serta suka menolong orang lain.

Dalam mata pelajaran Pendidik­an Agama Islam, Pendidikan Mo­ral, Bahasa Malaysia, nilai-nilai ini amat ditekankan dalam pendidikan dan amalan. Sebagai contoh melalui Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, pelajar dididik memahami watak dan perwatakan serta nilai murni dalam karya sastera.

Begitu juga dengan mata pelajaran Pendidikan Moral, murid dididik dan diajar memahami dan mengamalkan 17 nilai murni yang disarankan oleh kementerian dan 24 nilai murni untuk amalan rak­yat Malaysia yang disarankan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Melalui pengajaran dan pem­belajaran akal akan dapat me­nerima dan memahami pendidikan memperbaiki budi pekerti. Melalui akal dan budi seseorang pelajar dapat menilai kebenaran dan kebatil­an dalam kehidupan ini.

Semuanya ini berkait rapat de­ngan pembangunan modal insan untuk melahirkan umat yang cemerlang. Bagi menjana ummah gemilang. Pendidikan melalui mata pelajaran tertentu di sekolah masih mampu melahirkan generasi masa depan yang berakal budi dan berakhlak mulia.

Melalui pembangunan minda dan akhlak iaitu generasi yang di­didik dan dibekalkan dengan pengetahuan dan kefahaman ke­agamaan yang mendalam akan melahirkan umat yang cemerlang. Hal ini penting dilakukan di peringkat sekolah dan universiti.

Tugas dan peranan pendidik di sekolah sememangnya tidak boleh dinafikan. Tanggungjawab melahirkan umat yang cemerlang terletak kepada guru yang terlatih. Sekolah adalah institusi yang dibina dengan tujuan membentuk dan mengubah tingkah laku pelajar ke arah yang lebih baik. Guru pula akan memainkan peranan utama melaksanakan dasar dan tujuan pendidikan.

Ibu bapa dan masyarakat sentiasa mengharapkan guru menjadi ejen pembangunan minda bagi masyarakat dan negara. Ilmu pen­ge­tahuan adalah alat utama guru untuk menyampaikan ilmu, mendidik akal budi bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

Para guru dan pendidik mengharapkan bidang pendidikan akan diberi keutamaan dan mendapat peruntukan yang lebih besar dalam RMK-11 bagi meneruskan transformasi pendidikan, agenda pembangunan modal insan cemerlang ke arah lonjakan terakhir untuk mencapai Wawasan 2020 bagi mencapai status negara maju.

Jelaslah, guru masih memainkan peranan penting dalam melahirkan umat cemerlang. Guru yang dapat bekerjasama dengan ibu bapa, secara tidak langsung dapat pula memberikan pendidikan kemasyarakatan kepada masyarakat setempat.

Selain itu, usaha melahirkan akal budi insan yang baik dan modal insan juga boleh dilakukan oleh guru-guru dan ibu bapa melalui pelbagai akti­viti seperti ceramah dan aktiviti yang sesuai dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Program yang dijalankan dapat menambah nilai kerohanian dan pe­nyempurnaan akhlak murid bagi membantu mencapai kejayaan cemerlang.

Dalam konteks ini, kemurnian rohani, kekuatan jasmani mo­dal terbesar membentuk ummah gemilang. Seseorang pelajar yang hebat dan berwawasan serta berani mencipta kegemilangan akan dapat mencapai hasrat keluarga, masyarakat dan negara. Kemurnian hati dan keluhuran jiwa yang dapat membentuk akal budi yang tinggi.

Unsur-unsur kerohanian dan ke­sempurnaan akhlak ini memainkan peranan penting ke arah pencapaian akademik dan akal budi yang cemerlang. Kekukuhan dalaman ini apabila disisipkan dengan teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, strategi pembacaan, mengambil nota, perbincangan dalam kumpulan yang lebih berkesan untuk mencapai kejayaan cemerlang.

Dalam tempoh RMK-11 kadar penyertaan murid dari peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah akan disasarkan kepada 100 peratus enrolmen menjelang 2020. Di sam­ping itu, sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan baharu, bakal diwujudkan. Antara langkah yang diambil ialah menambah baik produktiviti buruh dan gaji, serta mempertingkatkan kecekapan operasi pasaran buruh.

Pembangunan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi perlu bagi membantu Malaysia beranjak ke arah aktiviti bernilai tinggi dan mempunyai pengetahuan yang menjadi tonggak kepada negara maju.

Lantaran itu, RMK-11 juga mampu memberikan perubahan ke arah transformasi pendidikan yang lebih rancak bertunjangkan kepada pertumbuhan berlandaskan rakyat. Dasar serta perancangannya nanti pasti melibatkan transformasi pendidikan untuk melahirkan modal insan cemerlang sekali gus menghasilkan pelajar serta graduan cemerlang dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada graduan lepasan universiti.

PENULIS ialah pengamal media, 
Ph.D Persuratan Melayu, 
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

About PKG Tapang

Profile photo of PKG Tapang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>