Home » Pendidikan » TPM: Usah nafi kejayaan kerajaan sedia pembangunan pendidikan terbaik
azas

TPM: Usah nafi kejayaan kerajaan sedia pembangunan pendidikan terbaik

JERLUN 25 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan, tidak ada pihak boleh menafikan kejayaan kerajaan dalam menyediakan pembangunan pendidikan yang terbaik termasuk prasarananya untuk rakyat negara ini.

Menurut Timbalan Perdana Men­­teri, kesungguhan Malaysia me­nyediakan peruntukan untuk pembangunan pendidikan negara termasuk prasarana itu turut diperakui oleh badan antarabangsa se­perti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

“Malaysia antara negara membangun yang menyediakan peruntukan perkapita untuk pelajar yang tertinggi di dunia dan ini fakta diakui oleh OECD yang menyatakan bahawa Malaysia memperuntukkan kewangan bagi pembangunan pendidikan yang agak besar jika dibandingkan negara lain.

“Oleh sebab itu, tidak ada pihak harus menyatakan bahawa pihak kerajaan tidak berikan perhatian yang saksama dalam aspek pembangunan pendidikan untuk rakyat ini kerana jelas terbukti kita sediakan jumlah dana yang besar setiap tahun sejak kita mencapai kemerdekaan,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun di Ayer Itam di sini hari ini.

SMK Jerlun yang terletak di tanah seluas 16 hektar mula diduduki oleh pelajar pada 1 Januari lepas dibina dengan peruntukan RM23.8 juta sebagai memenuhi keperluan penduduk setempat yang semakin padat di kawasan berkenaan.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan barisan Exco kerajaan negeri.

Muhyiddin menambah, peruntukan bajet yang dibentangkan setiap tahun juga menyediakan hampir 20 hingga 21 peratus dari keseluruhan bajet untuk pembangunan pendidikan dari peringkat prasekolah hingga ke pengajian tinggi.

Selain itu, kata beliau, kira-kira 600,000 daripada 1.6 juta pejawat awam negara ini juga terdiri daripada warga pendidikan.

“Apakah tujuannya? Tidak lain, tidak bukan kita mahu mengangkat darjat dan kedudukan rakyat ke pe­ringkat lebih tinggi dengan ilmu walaupun dia datang dari anak pesawah dan datang dari kampung di mana ibu bapa mereka tidak mempunyai peluang sebelum ini tetapi anak mereka tidak boleh kita biarkan.

“Kementerian Pendidikan buat pemohonan besar kepada Kementerian Kewangan supaya sejumlah peruntukan yang lebih besar dapat diberikan untuk laksanakan prasarana yang lebih baik di seluruh negara,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan juga fokus dalam melaksanakan sasaran 60 peratus daripada pelajar memilih pengajian dan kerjaya dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam kerangka menjadikan negara lebih cemerlang.

“Antara cabaran besar kita adalah untuk menarik penyertaan anak kita dalam bidang sains atau STEM kerana dasar kita 60 peratus mesti ada minat itu dan jika itu tidak tercapai proses pembangunan akan menjadi agak lambat.

“Peratusan anak-anak kita masih rendah tidak sampai 20 peratus dan kita akan berusaha agar 40 peratus lagi dapat dicapai,” katanya.

About PKG Tapang

Profile photo of PKG Tapang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>